KUALA PILAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, di sini terpilih sebagai Sekolah Angkat Madani oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pemilihan berkenaan juga setelah perbincangan dibuat bersama jabatan yang berkaitan dan mengambil kira potensi sekolah tersebut sebagai sekolah sukan di Negeri Sembilan ini.
“Alhamdulilah pada tahun ini satu lagi inisiatif baharu sekolah angkat Madani bagi membantu sekolah luar bandar. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menegaskan untuk beri perhatian sekolah luar bandar yang agak ketinggalan mungkin dari segi infrastruktur, mungkin juga pembangunan sahsiah.
“Kita ada pasukan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang boleh laksanakan kursus pembangunan sahsiah ini. Selain itu, kita harap melalui dana RM 100,000 yang diperuntukan, setiap projek yang telah direncanakan untuk SMK Za’ba dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani, dan Majlis Sambutan Hari Raya Madani Jabatan Perkhidmatan Awam bersama penduduk Kampung Seri Menanti, di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan turut memaklumkan sebanyak lapan projek fizikal telah dikenal pasti antaranya seperti menaik taraf dan membaik pulih balai raya, menaik taraf perpustakaan desa, pemasangan lampu solar, pembinaan kios pengumpulan produk tempatan, pemasangan pagar kubur di wakaf kubur Kampung Juar; dan pembinaan mercu tanda Kampung Seri Menanti.
“Manakala kerja-kerja bagi projek membaik pulih surau, menaik taraf gelanggang futsal dan sepak takraw telah pun bermula. Ini membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.2 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan turut menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima pencen termasuk balu pesara polis, Rokiah Subuh, 88, yang memerlukan.-UTUSAN