Sime Darby, SPNB mulakan projek bina semula rumah Putra Heights esok

Sime Darby, SPNB mulakan projek bina semula rumah Putra Heights esok

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pemaju yang dilantik, Sime Darby dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan memulakan projek pembinaan semula rumah yang terkesan akibat kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights, esok.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha itu juga adalah menerusi kerjasama dengan kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam projek pembinaan tersebut, Kor Ming berkata, Sime Darby yang juga merupakan pemaju Taman Putra Harmoni akan mengambil tanggungjawab membina semula rumah rumah terkesan di kawasan perumahan tersebut mengikut pelan rumah unit asal.

Sementara, SPNB pula akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembinaan semula di Kampung Kuala Sungai Baru.

“Kedua-dua pihak ini akan dibenarkan memasuki tapak tersebut bermula 1 Mei dan memulakan kerja dengan unit-unit kediaman dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian. Tempoh keseluruhan yang diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan ini adalah selama 24 bulan.

“KPKT akan terus memantau perkembangan projek ini dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut jadual. Ini bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi juga usaha membina semula kehidupan dan harapan mereka yang terkesan bagi memastikan mangsa dapat kembali mendiami kediaman masing-masing secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdapat tiga kategori kerja bagi baik pulih dan pembinaan semula rumah-rumah yang terkesan iaitu rumah-rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula, kos siling pembinaan ditetapkan sebanyak RM300,000 seunit.

Kategori kedua adalah rumah-rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus tetapi  tidak memerlukan pembinaan semula, kos siling baik pulih ditetapkan sebanyak  RM150,000.

Sementara bagi kategori ketiga adalah rumah-rumah yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus dengan kos siling baik pulih adalah sebanyak RM30,000.

Dalam pada itu, Kor Ming turut memaklumkan pihaknya memperuntukkan sejumlah RM6 juta bagi kerja-kerja pemulihan infrastruktur awam melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara  (JLN) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Dengan ini, jumlah keseluruhan kos yang terlibat dalam usaha melestarikan kawasan Putra Heights adalah sebanyak RM46 juta, merangkumi RM40 juta untuk kerja bina baru dan baik pulih rumah dan RM6 juta untuk pemulihan infrastruktur awam,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya