KLUANG: Seorang lelaki maut manakala 14 lagi cedera selepas dua buah kenderaan dinaiki mereka ketika berkunjung sempena Hari Raya Aidilfitri bertembung dalam kejadian di Kilometer 25 Jalan Renggam – Layang-Layang di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pukul 8 malam itu melibatkan Kereta Honda Stream yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dan membawa lapan penumpang berusia antara tiga tahun hingga 21 tahun.
Katanya, kenderaan kedua pula adalah Honda City dipandu Muhammad Amiruddin Kamalruzaman, 29, yang membawa lima penumpang berumur antara satu tahun hingga 60 tahun.
“Siasatan awal mendapati Kereta Honda Stream dalam perjalanan dari arah Renggam ke Layang-Layang manakala Honda City dari arah bertentangan. Ketika sampai di lokasi, kereta Honda Stream yang dipandu seorang wanita dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentengan sebelum berlaku pertembungan dengan kereta Honda City,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Bahrin, pertembungan mengakibatkan semua pemandu dan penumpang dua buah kenderaan mengalami kecederaan di beberaoa bahagian sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Ujarnya l, pemandu kereta Honda City, Muhammad Amiruddin Kamalruzaman yang mengalami kecederaan parah di muka dan kepala bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan hospital sama. – UTUSAN