JASIN: Siapa sangka, hasil tangan pensyarah Kolej Komuniti Jasin (KKJS) mampu mencetuskan fenomena baharu dalam dunia seni tempatan hingga menjadi tarikan utama pameran dan berpotensi besar untuk dikomersialkan ke peringkat lebih tinggi.
Kreativiti luar biasa itu turut mendapat pengiktirafan tokoh terkemuka apabila Setiausaha Agung World Youth Foundation (WYF), Datuk Norsabrina Mohd. Noor menyifatkan karya yang dihasilkan di kolej itu sebagai permata tersembunyi yang wajar digilap.
Norsabrina berkata, golongan muda perlu diberi ruang dan peluang untuk mengasah bakat dalam industri kreatif kerana mereka adalah pelapis masa depan negara yang bakal mencorakkan landskap seni tanah air.
“Seni kreatif yang diajar dan dihasilkan di sini sangat luar biasa. Ia bukan sahaja mempunyai nilai estetika yang tinggi, malah mampu menjadi pemangkin kepada industri seni kraf negara.
“Inilah masanya kita beri pendedahan kepada masyarakat, khususnya belia,” katanya ketika membuat kunjungan hormat ke KKJS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah KKJS, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, pihaknya sedang menyusun pelan strategik jangka panjang bagi membawa institusi itu ke tahap lebih tinggi.
“Fokus kami kini adalah memajukan KKJS khusus dalam bidang seni kreatif agar setanding dengan pemain industri di peringkat antarabangsa. Kami yakin, dengan perancangan rapi, sasaran itu boleh dicapai.
“Penghasilan karya seni ini turut diterajui Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), Ts. Suzarina Suboh yang menjadi tunjang kepada kejayaan program seni kraf di kolej ini,” katanya. – UTUSAN