GEORGE TOWN: Semua sekolah di seluruh negara akan dilengkapi dengan papan pintar (smartboard) sepenuhnya menjelang tahun 2027 sebagai langkah memperkukuh penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif tersebut merupakan antara komitmen utama kerajaan dalam memastikan sistem pendidikan nasional bergerak seiring dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 dan perkembangan teknologi global.
Katanya, selain pemasangan smartboard, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut merancang pelan sokongan jangka panjang yang melibatkan penaiktarafan pusat kegiatan guru menjadi pusat kecemerlangan teknologi pendidikan.
“Usaha ini bertujuan memastikan guru sentiasa bersedia dari segi kemahiran dan infrastruktur untuk mengadaptasi perubahan dalam pedagogi digital,” katanya dalam sidang akhbar majlis perasmian penyerahan smartboard sekolah-sekolah Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas di sini hari ini.
Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mencapai 100 peratus penggunaan smartboard di kesemua 396 sekolahnya, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, kerajaan negeri serta sektor swasta seperti Public Bank.
“Kita ucapkan syabas kepada Pulau Pinang kerana telah menunjukkan komitmen yang luar biasa dalam menjayakan usaha ini dan usaha untuk melengkapkan sekolah dengan smartboard ini juga harus diikuti oleh negeri-negeri yang lain dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Fadhlina menegaskan meskipun penggunaan teknologi semakin meluas, ia tidak akan menjejaskan peranan guru yang kekal sebagai tonggak utama dalam membentuk sahsiah dan akhlak murid.
“Teknologi tidak boleh mengambil alih peranan guru. Guru tetap peneraju dalam mendidik anak-anak kita dan memastikan nilai, integriti serta akhlak pelajar terus terpelihara,” katanya.
Pada majlis sama Fadhlina turut melancarkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar yang akan bermula secara berperingkat mulai 21 April, sebagai simbol usaha berterusan KPM memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda. – UTUSAN