GEORGE TOWN: Semua sekolah seluruh negara akan dilengkapi dengan papan pintar (smartboard) sepenuhnya menjelang tahun 2027 sebagai langkah memperkukuh penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif tersebut adalah antara komitmen utama kerajaan dalam memastikan sistem pendidikan nasional berge)rak seiring dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 dan perkembangan teknologi global.
Katanya, selain pemasangan papan pintar, Kementerian Pendidikan (KPM) turut merancang pelan sokongan jangka panjang yang melibatkan penaiktarafan pusat kegiatan guru menjadi pusat kecemerlangan teknologi pendidikan.
“Usaha ini bertujuan memastikan guru sentiasa bersedia dari segi kemahiran dan infrastruktur untuk mengadaptasi perubahan dalam pedagogi digital,” katanya dalam sidang akhbar majlis perasmian penyerahan smartboard sekolah-sekolah Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas di sini semalam.
Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mencapai 100 peratus penggunaan papan pintar di kesemua 396 sekolahnya, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, kerajaan negeri serta sektor swasta seperti Public Bank.
“Kita ucapkan syabas kepada Pulau Pinang kerana telah menunjukkan komitmen yang luar biasa dalam menjayakan usaha ini dan usaha untuk melengkapkan sekolah dengan smartboard ini juga harus diikuti oleh negeri-negeri yang lain dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Fadhlina menegaskan, meskipun penggunaan teknologi semakin meluas, ia tidak akan menjejaskan peranan guru yang kekal sebagai tonggak utama dalam membentuk sahsiah dan akhlak murid. – UTUSAN










