ALOR SETAR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri termasuk sekolah agama dalam usaha menegakkan syiar Islam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu juga selari dengan matlamat kementerian dalam melaksanakan agenda pendidikan dan pembangunan agama Islam.
“Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah. Kerajaan Madani komited melaksanakan semua agenda pendidikan dan pembangunan Islam,” katanya ketika berucap pada perasmian Rumah Maahad dan Jamuan Hari Raya Persatuan Alumni Maktab Mahmud di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kerajaan berjumlah RM400,000 kepada Maktab Mahmud bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan Islam dalam kalangan pelajarnya.
Berucap lanjut kata beliau, Maktab Mahmud sentiasa dekat di hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempunyai nilai sentimental dari zaman beliau menjadi Menteri Pendidikan.
“Kita menghargai sumbangan Maktab Mahmud dalam melahirkan ulama dan umara yang amat besar kepada usaha meningkatkan syiar Islam. Kebitaraan pelajar Maktab Mahmud dalam meningkatkan penguasaan bahasa Arab juga perlu terus dipertahankan.
“Maktab Mahmud diharapkan kekal dengan niche untuk melahirkan ulama dan ini juga sebahagian daripada hala tuju di peringkat pendidikan Malaysia dalam pendidikan Islam,” katanya.
Katanya, kementerian berusaha menambah baik beberapa perkara dalam pembangunan sekolah-sekolah agama di bawahnya.
“Antaranya untuk memastikan kebitaraan dalam bahasa Arab itu adalah sebahagian daripada niche utama setiap sekolah agama dan mesti menjadi perkara yang dibudayakan. Begitu juga penghayatan Hadis 40,” katanya.-UTUSAN