KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) perlu menyegerakan kerja-kerja membaik pulih struktur cerucuk di rumah pam milik agensi berkenaan di Ketereh, dekat sini bagi mengatasi masalah kemarau.
Pengerusi Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada KADA untuk melaksanakan kerja-kerja di kawasan tersebut.
“Untuk penanaman padi musim ini, bila sheetpile disiapkan dan paras air sungai akan dapat ditinggikan seterus disalurkan terus ke petak-petak sawah.
“Jadi, kita mohon segerakan pembaikian ‘sheetpile’ ini bagi menyalurkan bekalan air kepada petani untuk menanam padi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) pada persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Tuan Mohd. Saripudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising berkata, masalah bekalan air di Pam Kemubu bukan berpunca daripada kerja-kerjà pengorekan pasir di Sungai Kelantan. – UTUSAN