TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir menegaskan mengisytiharkan harta sebelum bersara daripada perkhidmatan awam, selaras dengan prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurut Dr. Mohamad Yusri, 54, pengisytiharan harta adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh penjawat awam, terutama bagi mereka yang memilih untuk bersara awal.
“Saya memang sudah isytihar harta sebelum bersara dan ini adalah prosedur biasa yang ditetapkan JPA, termasuk melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditemui selepas sesi kempen di sekitar Tapah Road, semalam.
Bekas pensyarah dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu berkata demikian sebagai respon kepada cabaran calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, yang menggesa semua calon mengisytiharkan harta secara terbuka.
Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, calon Perikatan Nasional (PN) tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak memegang jawatan kerajaan.
“Isytihar harta perlu dilakukan apabila seseorang memegang jawatan dalam kerajaan. Jika calon menang dan menjadi ADUN, ketika itu pengisytiharan boleh dibuat,” katanya.
Pemilihan di DUN Ayer Kuning kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PN dan PSM, dengan isu ketelusan dan integriti mula menjadi sorotan sepanjang kempen. – UTUSAN











