PETALING JAYA: ““Resipi saya jangan ikut sangat, saya pun ikut orang.”
Demikian ‘p0engakuan’ penyanyi dan pelakon popular, Amy Mastura ketika ditanya adakah dia hebat dalam dunia masakan sehingga dilantik sebagai duta produk keluaran Rasa Rosz.
Jelas penyanyi Bintang Hati itu, kolaborasi bersama Datuk Seri Rozita Ramelan, pemilik Restoran Rasa Rosz, bukan sekadar soal perniagaan semata-mata, tetapi berlandaskan kepercayaan dan keserasian yang terjalin sejak sekian lama.
“Saya sangat selesa bekerja dengan Datuk Seri. Diam tak diam, sudah lima tahun saya bersama Rasa Rosz. Tahun lepas kami berehat seketika kerana saya ke Tanah Suci. Dia juga ketika itu kurang sihat. Tahun ini, kami kembali dengan semangat baharu,” jelas penyanyi itu.
Selain menjadi duta rasmi, aktres yang popular dengan watak komedi itu turut menyumbangkan idea resipi untuk beberapa menu pilihan pelanggan termasuk resepi Nasi Daging yang kini menjadi antara tarikan utama restoran.
Bercakap soal kerjaya seni, Amy berkongsi jadualnya kini padat dengan penggambaran drama dan persembahan pentas, di samping komitmennya bersama Rasa Rosz.
“Alhamdulillah, tawaran berlakon dan menyanyi masih ada. Nampaknya saya masih lagi relevan dalam industri. Kalau tiada komitmen kerja, saya lebih suka luangkan masa bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, Rozita Ramelan berkata, jenama Rsa Rosz semakin berkembang dengan 40 produk sedia ada untuk kegunaan hotel, restoran dan pengguna biasa serta terdapat di pasaran termasuk pes nasi ayam, nasi pandan, nasi lemak, sambal belacan, rendang, serta masak lemak cili api.
“Produk baharu dalam perancangan termasuk variasi sambal belacan dengan tiga jenis pembungkusan, serta pes saiz mini untuk golongan bujang dan pelajar.
“Kami hasilkan pes yang serba lengkap. Tak perlu potong bawang, semua dah ada dalam satu pek,” kata Rozita.
Restoran Rasa Rosz juga dalam fasa pengembangan, dengan satu cawangan baharu bakal dibuka tahun ini dan dua lagi tahun depan.
Outlet terkini di AEON Big Wangsa Maju dan IOI City Mall Putrajaya menawarkan menu sihat.-UTUSAN