KUALA LUMPUR: Remaja dan belia bawah 30 tahun kini menjadi golongan paling berisiko dijangkiti HIV di Malaysia.
Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC), Dr. Zaiton Yahya berkata, kebanyakan kes baharu adalah dalam kalangan remaja dan lepasan sekolah serta universiti.
“Golongan muda ini kebanyakannya tidak mengetahui risiko yang mereka hadapi tetapi cenderung untuk terlibat dengan tingkah laku berisiko tinggi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.
Tambah Zaiton, walaupun kes berkaitan penggunaan dadah dan perkongsian jarum suntikan menunjukkan penurunan berikutan program-program pencegahan, namun kes jangkitan melalui aktiviti seksual semakin meningkat.
“Masa kita bagi jarum baharu untuk mengelakkan perkongsian jarum, kita dapat lihat kes berkurangan. Tetapi kes melalui hubungan seksual pula semakin meningkat. Oleh itu, kita perlu ada aplikasi untuk memberi kesedaran kepada individu yang berkaitan,” katanya.
Ujarnya, platform itu memberi tumpuan khusus kepada belia yang didefinisikan sebagai bawah 30 tahun termasuk remaja, graduan dan mereka yang baharu memulakan kerjaya.
“Kita menyasarkan golongan yang sangat muda. Mereka yang baharu lepas universiti atau baharu mendapat kerja pertama dan kemudian mungkin terjebak dengan kumpulan yang salah,” ujarnya. – UTUSAN