Remaja ambil 11.5 sudu teh gula sehari - NHMS 2024

Remaja ambil 11.5 sudu teh gula sehari – NHMS 2024

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2024 (NHMS 2024) yang dilancarkan semalam mendedahkan dua daripada tiga remaja dan seorang daripada dua dewasa mengambil gula bebas lebih daripada 7.5 sudu teh atau 37.5 gram sehari.

Gula bebas itu merujuk kepada gula yang ditambah ke dalam makanan dan minuman serta gula semulajadi pula yang didapati dalam madu, sirap, jus dan pati.

Dapatan itu mendedahkan individu remaja mengambil 11.5 sudu teh gula bebas dan individu dewasa pula mengambil sembilan sudu teh gula bebas dalam sehari.

Itu dapatan yang diperolehi daripada 5,147 responden dari seluruh negara yang mengambil bahagian dalam tinjauan bermula Julai hingga September tahun lalu.

Secara keseluruhan, 63.1 peratus remaja dan 47 peratus dewasa daripada keseluruhan jumlah responden itu mengambil gula melebihi saranan pemakanan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu tidak melebihi 7.5 sudu teh gula sehari termasuk gula yang diambil di dalam makanan dan minuman.

NHMS 2024 juga mendedahkan, separuh daripada jumlah pengambilan gula bebas itu mewakili gula yang diperoleh daripada minuman.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah melaksanakan dan merancang pelbagai langkah intervensi bagi mengawal pengambilan gula dalam kalangan rakyat di negara ini termasuk menetapkan had maksimum gula dalam sachet dikurangkan daripada 5 gram(g) kepada 3g.

“Kami juga telah melancarkan Kempen ‘War on Sugar’ di 74 kawasan Parlimen tahun ini, dengan sasaran menyeluruh ke semua 222 Parlimen menjelang 2027.

“Selain itu, Cukai ‘Sugar Sweetened Beverage (SSB)’ ke atas minuman bergula dinaikkan daripada 50 sen seliter pada Jan 2024 kepada 90 sen seliter bermula tahun 2025,” katanya.

Pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan berat badan meningkat, risiko diabetes dan risiko serangan jantung.

Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) tampil dengan saranan ‘satu sudu teh gula sudah cukup, kurang lebih baik! tiada terbaik’ yang merujuk kepada pengambilan gula sesuai bagi setiap remaja dan dewasa di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya