Raih RM16,500 sebulan hasil ternak madu kelulut

Raih RM16,500 sebulan hasil ternak madu kelulut

MOHD. ZAMRI Sharief dan bapa saudaranya, Abdullah Saadon menunjukkan madu kelulut yang dihasilkan di Kampung Gubah, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Ternakan kelulut telah menjadi satu industri yang kian popular kerana madu dihasilkan dianggap sebagai produk premium dengan harga jualan mampu mencapai antara RM250 hingga RM700.

Melihat permintaan tinggi, Koperasi Keluarga Sharief Melaka Berhad (KOP-HAS) mengorak langkah mengusahakannya se­ca­ra besar-besaran.

Setiausaha KOP-HAS, Mohd. Zamri Sharief berkata, mereka bermula dengan lima sarang pada November 2023 selepas menimba ilmu daripada pengusaha berjaya di Kemengkang, Cohong dan Felda Bukit Senggeh, selain menjalani kursus Jabatan Pertanian dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Katanya, atas usaha gigih ahli koperasi yang terdiri daripada ahli keluarga, kini pihaknya mempunyai sebanyak 117 sarang yang mampu menghasilkan pendapatan kira-kira RM16,500 sebulan.

“Koperasi kita sebelum ini mengusahakan ternakan ayam kampung kacuk tetapi melihat permintaan tinggi terhadap madu kelulut kami sepakat untuk menternak lebah kelulut di sekitar kawasan ini di Kampung Gubah, Nyalas.

“Alhamdulillah bermula dengan hanya lima sarang akhirnya kami berjaya mempunyai sebanyak 117 sarang daripada tiga jenis lebah kelulut iaitu geniotrigona thoracica, heterotrigona itama dan tetrigona binghami.

“Saya melihat pembangunan industri ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu khususnya dalam penyelenggaraan koloni kelulut, pengeluaran madu dan pengurusan perniagaan madu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Gubah.

Katanya, KOP-HAS turut menanam 180 pokok sekitar sarang untuk makanan lebah kelulut seperti akasia, air mata pengantin, belimbing madu, senduduk putih dan senduduk biru.

Menurutnya, setiap bulan madu kelulut dihasilkan sekitar 66 liter dan dijual dengan harga RM50 untuk sebotol bersaiz 200 mililiter (ml).

“Buat masa ini, ia tidak komersialkan jualan madu tetapi lebih kepada jualan secara peribadi dan permintaan beberapa koperasi di negeri ini,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN