GUA MUSANG: Empat jenis spesies kelulut iaitu Trigona Itama, Trigona Thorasica, Trigona Terminata dan Trigona Canifrons menjadi ‘rahsia’ buat seorang pemuda mendapatkan madu yang berkualiti.
Zolkefli Rashid, 28, berkata, dia sama sekali tidak menyangka hasil tersebut mampu menepati citarasa penggemar madu sekali gus menyaksikan dia menerima tempahan tinggi daripada pelanggan.
“Pada awal pembabitan saya hanya membeli satu log atau sarang kelulut lima tahun lalu. Bermula secara suka-suka untuk mengisi masa terluang, lama-kelamaan saya seperti ‘ketagih’ untuk memelihara lebah.
“Mulanya, ia hanya untuk kegunaan sendiri. Namun, hasilnya yang semakin banyak menyebabkan saya terfikir untuk membuat jualan sehingga menjadi pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kundur, di sini semalam.
Zolkefli memberitahu, dia menambah log sarang dan sehingga kini memiliki lebih 20 log yang diletakkan di sekitar halaman belakang rumah.
Katanya, selain belajar menternak lebah kelulut sendiri, dia banyak bertanya kepada rakannya yang terlebih dahulu mengusahakannya.
“Pada masa sama, saya turut mendapatkan maklumat daripada media sosial mengenai kaedah betul menternak lebah kelulut termasuk cara yang terbaik bagi menghasilkan madu berkualiti.
“Saya berpuas hati apabila setiap log sarang lebah kelulut dapat menghasilkan madu purata antara satu hingga lebih dua kilogram selepas tempoh matang. Kelebihan kelulut adalah madunya boleh diambil setiap bulan apabila kotak sarang telah penuh dan madu berada di dalam kantung-kantung kecil,” ujarnya.
Zolkefli berkata, madu kelulut itu dijual dengan harga RM30 bagi setiap botol 120 gram, RM60 untuk 270 gram dan RM180 bagi sekilogram. – UTUSAN









