BATU KAWAN: Projek pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah di Kepala Batas telah berjaya disiapkan sejak tahun lepas dan ia kini diserah kepada pejabat Perbadanan Ketua Menteri (CMI) untuk tindakan lanjut.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, mengikut perancangan asal, projek bersejarah itu akan disempurnakan pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Julai ini.
Katanya, jika berlaku sedikit kelewatan, berkemungkinan prapelancaran projek terbabit akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow atau wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terlebih dahulu.
“Sekarang, kita tengah menunggu artifak-artifak bersejarah (rangka manusia) dari Netherlands (Belanda) yang dijangka dibawa pulang (ke Malaysia) pada bulan Jun ini,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sempena sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.
Ketika ini, terdapat 41 rangka manusia bersejarah yang dijumpai di tapak arkeologi itu sedang disimpan di Collection Centre of Netherlands (CCNL) di Belanda.
Difahamkan, artifak-artifak bersejarah itu mengambil masa untuk dipindahkan ke negara ini disebabkan isu teknikal selain beberapa prosedur penting yang perlu dipatuhi untuk tujuan berkenaan.
Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang, Andika Putera sebelum ini mempersoalkan mengenai kelewatan beberapa projek pembinaan serta baik pulih infrastuktur berkaitan warisan dan kebudayaan di negeri ini.
Menurut Andika, antara projek itu ialah pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah, yang pembinaannya telah mencapai 94 peratus pada April 2024, namun, belum dimaklumkan mengenai tarikh pelancaran atau pembukaan rasmi pusat terbabit sehingga kini.
Pusat arkeologi yang dibina berkonsepkan ‘archaeo-edu-tourism’ di atas tapak berkeluasan 0.97 hektar itu dilaporkan lengkap dengan beberapa kemudahan untuk pengunjung.
Selain ruang pameran interaktif, ia juga dilengkapi dengan dewan seminar, tapak timbunan cengkerang, ruang pentadbiran serta beberapa kemudahan lain termasuk surau dan tandas. – UTUSAN