PETALING JAYA: Penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia di pameran Food & Hospitality Indonesia (FHI) 2024 lalu berjaya meraih potensi jualan sebanyak RM62.57 juta, sekali gus membuktikan permintaan tinggi terhadap produk halal Malaysia di pasaran negara jiran itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu menjadi bukti kepercayaan pengguna antarabangsa terhadap kualiti dan standard halal Malaysia yang terus menjadi penanda aras global.
“Saya juga berbangga dengan penyertaan PKS Malaysia di FHI 2024. Ia bukan sahaja memperkukuh jenama halal Malaysia malah membuka lebih banyak peluang dagangan strategik antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Malaysia–Indonesia Halal Industry Collaboration Roundtable yang dianjurkan oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sesi tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama serantau serta merancakkan pertumbuhan inklusif dalam ekonomi halal global, termasuk meneroka peluang pelaburan dan integrasi rantaian bekalan halal Malaysia–Indonesia.
Dalam perbincangan itu, tiga perkara utama telah dipersetujui oleh Malaysia dan Indonesia iaitu pengiktirafan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Indonesia.
Kedua-dua negara bersetuju untuk membenarkan penggunaan logo halal Jakim bagi produk yang dieksport ke Indonesia tanpa perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) baharu, sekalig us memudahkan urusan perdagangan halal.
Malaysia turut bersetuju mengiktiraf sijil halal Indonesia bagi produk yang akan dieksport ke negara ini.
Ahmad Zahid menyifatkan langkah ini sebagai satu perubahan besar hasil daripada komitmen dan kepercayaan antara pemain industri kedua-dua negara.
Katanya, Forum Industri Halal Malaysia–Indonesia juga diperluas ke peringkat serantau, selain menyuarakan hasrat penubuhan Majlis Halal ASEAN yang kini sedang dikaji oleh Sekretariat ASEAN.
“Usaha-usaha ini selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan negara bersedia menggalas tanggungjawab memperkukuh lagi kesepaduan serta pertumbuhan ekonomi halal di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, platform seperti ASEAN Working Group on Halal Food (AWGAF) dan BIMP-EAGA juga akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha membina masa depan ekonomi halal yang lebih mampan dan terhubung di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Saya yakin kita dapat terus memperkukuh ekonomi halal serantau dan dunia melalui strategi yang bersepadu dan saling melengkapi,” katanya. – UTUSAN