PRK Ayer Kuning: Tujuh laporan polis diterima sepanjang kempen - Utusan Malaysia

PRK Ayer Kuning: Tujuh laporan polis diterima sepanjang kempen

NOOR Hisam Nordin dalam sidang akhbar selepas meninjau proses undi awal PRK Ayer Kuning di Batalion 3 PGA Bidor hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sebanyak tujuh laporan polis diterima dengan dua kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dibuat sepanjang tempoh berkenaan.

“Lima laporan polis itu diklasifikasikan sebagai No Offense Disclosed (NOD) iaitu tiada kesalahan dikenal pasti atau tiada kesalahan didedahkan manakala dua lagi laporan polis disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Laporan bersabit kes khianat poster dan bendera parti itu dibuat wakil calon di Balai Polis Tapah Road, semalam. Kejadian tersebut didakwa berlaku di kawasan Tapah Road,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses undi awal membabitkan anggota polis dan pasangan di pusat mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 PGA Bidor, di sini hari ini.

Pemilih berdaftar bagi proses pengundian awal melibatkan 500 anggota polis dan pasangan di mana 476 orang membuang undi di Batalion 3 PGA Bidor manakala 24 orang lagi di Dewan Anggerik Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Sementara itu Noor Hisam berkata, setakat pukul 11 pagi ini, seramai 382 pegawai dan anggota polis serta pasangan telah membuang undi di dua pusat mengundi.

“Di Kompleks Perumahan IPD Tapah, undian di sana telah selesai. Pemilih berdaftar di saluran itu adalah seramai 24 orang namun seorang anggota kita telah meninggal dunia akibat kemalangan minggu lalu.

“Di PGA Bidor juga, seorang anggota juga telah meninggal dunia,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kempen ketiga-tiga parti yang bertanding, di mana tiada kejadian tidak diingini dilaporkan sejak hari penamaan calon Sabtu lalu.

“Setakat ini kita berpuas hati dengan kerjasama diberikan semua pihak. Diharap momentum baik ini dikekalkan sehingga menjelang tengah malam Jumaat nanti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN