PRK Ayer Kuning: Pengundi mula tiba di pusat mengundi - Utusan Malaysia

PRK Ayer Kuning: Pengundi mula tiba di pusat mengundi

PETUGAS SPR memeriksa kad pengenalan pengundi sebelum mereka mengundi pada PRK Ayer Kuning di Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong di Tapah hari ini. - UTUSAN//MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dibuka serentak pada pukul 8 pagi hari ini.

Pusat pengundian tersebut ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Temoh, SK Sungai Lesong, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Kroh, SK Batu Masjid, SK Batu Tiga, SJKC Hwa Lian, SK Ayer Kuning, SJKC Pheng Lok, Sekolah Agama Rakyat Salamiah, SK Haji Hasan dan SJKC Phui Chen

Selain itu, turut dijadikan pusat mengundi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Panglima Perang Kiri, SK Toh Tandewa Sakti, SJKC Pekan Getah, SMK Bidor, Sekolah Menengah Agama Daerah Batang Padang, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Banopdane, SK Jeram Mengkuang dan SJKC Kg Coldstream.

Seramai 31,281 pengundi berdaftar direkodkan di DUN Ayer Kuning dengan 601 petugas termasuk polis pengiring akan bertugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat antara pukul 4 hingga 6 petang dengan SK Toh Tandewa Sakti yang mempunyai satu saluran undi ditutup paling awal.

Penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah dan keputusan rasmi dijangka diketahui seawal pukul 9 malam.

Keadaan cuaca yang baik menyebabkan orang ramai mengambil peluang keluar awal dengan ada antara mereka mula tiba di pekarangan pusat mengundi seawal pukul 7 pagi.

Pada Selasa lalu, seramai 500 anggota polis dan pasangan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di mana seramai 476 orang mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor manakala 24 lagi di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, dengan Abdul Muhaimin Malek, 44, dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Mohamad Yusri dijangka mengundi di SK Sungai Lesong manakala Abdul Muhaimin dan Bawani masing-masing di SK Ayer Kuning dan SJKC Pheng Lok.

Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN