Politik? Cinta saya terhadap muzik lebih kuat - Utusan Malaysia

Politik? Cinta saya terhadap muzik lebih kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tak berminat­kah pada bidang politik?”

Pertanyaan itu mustahil tidak pernah dilayangkan kepada penyanyi popular kelahiran Indonesia ini apalagi ketika ini, ramai kalangan teman artisnya di negara itu seakan semakin berani mengorak langkah baharu dengan meneroka bidang politik.

Sama ada meninggalkan sepenuhnya dunia hiburan mahupun masih sebelah kaki di dalam bidang seni, ternyata dunia politik menjadi satu daripada cabang baharu yang menjadi pilihan golongan selebriti di sana.

Jika sebelum ini, Hits turut pernah bertanyakan hal yang sama kepada Krisdayanti, pertanyaaan ini seakan tidak sempurna jika tidak diajukan kepada penyanyi lagu Aku Bukan Untukmu dan Pudar ini.

Bukan apa, Datuk Seri Rossa ada kaliber sendiri untuk menyandang gelaran ahli politik.

Bahkan dengan sikapnya yang suka beramal dan terlibat dalam hal-hal kebajikan masyarakat, ia menjadi satu daripada faktor yang menyaksikan Rossa seakan layak untuk menjadi pemimpin atau suara rakyat.

Bagaimanapun, entah kenapa, penyanyi ini sendiri mengakui dunia politik bukanlah pilihannya pada waktu ini.

Bahkan, secara peribadi, kata Rossa, dia mengakui bahawa sudah seringkali dirinya diajak atau ditawarkan peluang untuk terjun dalam dunia politik.

Namun, setiap kalinya hal itu ditolaknya secara baik kerana dia enggan tersilap langkah.

“Banyak sekali pihak yang sebenarnya telah mengajak saya untuk terlibat dalam dunia politik. Kebetulan saya juga merupakan graduan Fakulti Sosial Politik ketika belajar di universiti.

“Tetapi entah kenapa hati saya dan kecintaan saya ini lebih kepada bidang muzik. Cuma mungkin kalau nak beralih arah sedikit, saya suka meneroka bidang perniagaan.

“Saya lebih selesa untuk menghiburkan peminat muzik dengan kerja-kerja seni saya berbanding terjun ke bidang politik,”katanya.

Pun begitu, menurut Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, sudah tentu sebagai rakan artis, dia tumpang berbangga dan menyokong mana-mana rakan artis lain yang menceburi bidang politik.

“Seperti Melly Goeslaw atau Ahmad Dhani, saya sangat menyokong apa yang dilakukan mereka. Saya harap mereka dapat membawa aspirasi masyarakat atau industri seni muzik ini untuk menjadi suara rakyat.

“Saya menyokong teman-teman saya yang sekarang dapat berbakti untuk negara dengan laluan baharu mereka,”katanya.

Melihat kepada progres rakan-rakan artis yang kini bergelar ahli politik, kata Rossa, ia menyuntik rasa kebanggaan buatnya kerana sekurang-kurangnya, mereka tahu dan ada tujuan jelas mengapa pilihan itu diambil oleh mereka.

Konsert Here I Am
Sementara itu, berkongsi mengenai penganjuran Konsert Here I Am yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 14 Jun depan, Rossa mengakui teruja untuk bertemu dengan peminat-peminatnya di sini.

Menurut Rossa, konsert itu bukan sekadar persembahan pentas, tetapi merupakan refleksi perjalanan seni dan pencapaiannya sepanjang lebih 25 tahun dalam industri muzik.

Tambah Rossa, dia turut mendapat inspirasi untuk mengadakan konsert dengan tema itu apabila melihat kembali video-video muziknya sejak awal pembabitan dalam industri, termasuk lagu-lagu hit yang pernah dihasilkan pada awal 2000.

“Saya berfikir banyak perubahan telah berlaku dalam hidup dan kerjaya saya. Ternyata saya di industri ini sudah begitu lama.

“Pada waktu itu ada lagu Tegar, Hati Yang Terpilih dan Kini. Ia mengingatkan saya tentang zaman saya dahulu dan ternyata trend banyak berubah dan saya berharap akan sentiasa boleh mengikuti dan membuat trend baharu untuk lagu-lagu akan datang,” katanya.

Bakal menyajikan persembahan terbaik menerusi dendangan 27 buah lagu hit, penyanyi Hey Ladies itu berkata konsert tersebut meliputi beberapa segmen mengikut genre dan akan berlangsung selama tiga jam.

Lebih teruja, konsert itu turut mengundang penyanyi terkenal Indonesia, Ariel Noah dan beberapa penyanyi tempatan seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique bagi menghangatkan lagi atmosfera.

Selain itu, Rossa berkata konsert yang menyasarkan 11,700 penonton itu akan menampilkan sesuatu yang lebih segar, kreatif dan sangat berbeza daripada konsertnya sebelum ini, selain melibatkan banyak kolaborasi dan kejutan bagi memastikan kepuasan penonton.

Penyanyi berusia 46 tahun itu dijangka turut mengadakan konsert bertajuk sama di Indonesia dan Singapura pada tahun ini.

Konsert tersebut dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama Sah Entertainment serta mendapat sokongan Maybank sebagai rakan strategik perbankan yang menawarkan diskaun istimewa untuk pelanggannya.

Tiket telah mula dijual dengan harga RM228 hingga RM788 (tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran) di laman web ticket2u.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN