KANGAR: Polis menahan seorang wanita berusia 33 tahun dipercayai mendera anak kandungnya.
Sebelum itu, polis menerima satu laporan sekitar pukul 12.12 tengah hari daripada seorang guru besar sebuah sekolah rendah sekitar Jitra, Kedah, yang memaklumkan mengenai keadaan kanak-kanak berusia 11 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pengadu dikatakan mengetahui mengenai kejadian itu selepas mangsa didapati lewat hadir ke sekolah pada hari Isnin lalu.
“Hasil laporan pemeriksaan doktor dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini mendapati terdapat kesan luka di bahagian belakang badan, leher, kaki dan tangan mangsa akibat digigit serta dicucuk menggunakan sebilah gunting,” katanya di sini, semalam.
Bertindak atas maklumat Op Jejak/Kesan, Yusharifuddin berkata, satu tangkapan telah dibuat ke atas seorang wanita sekitar jejambat Titi Kerbau, Lebuhr Raya Changlun-Kuala Perlis pada pukul 1.30 pagi kelmarin.
Katanya, terdapat beberapa barangan turut dirampas iaitu telefon bimbit jenis Iphone 12, sekeping kad sim dan sebilah gunting sepanjang kira-kira 12 sentimeter yang dipercayai digunakan semasa kejadian tersebut.
“Motif penderaan dilakukan suspek terhadap mangsa masih dalam siasatan pihak polis buat masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau keduanya.
“Polis menasihati orang awam supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan melaporkan dengan segera berkaitan kesalahan jenayah melibatkan kanak-kanak ke IPD Kangar di talian 04-9082340 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN











