PETALING JAYA: Tiga premis perniagaan yang menyimpan minyak enjin kenderaan palsu menyerupai jenama popular di Ara Damansara dan Kepong, Kuala Lumpur diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini semalam.
Serbuan menerusi operasi khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula pukul 11.30 pagi itu berjaya menahan 13 individu serta merampas minyak enjin bernilai jutaan ringgit.
Difahamkan, minyak enjin kenderaan palsu itu akan dibotolkan menyerupai jenama popular sebelum diiklankan di platform e-dagang dan bengkel bagi mengaut keuntungan berganda.
Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, operasi dilaksanakan hasil risikan selama dua bulan.
“Dalam serbuan di dua premis di Ara Damansara, pasukan menahan empat individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Sri Lanka.
“Manakala serbuan di Kepong pula menahan seramai sembilan individu membabitkan tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan empat lelaki warga Bangladesh,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiga premis berkenaan menjalankan aktiviti itu bagi memperdaya pengguna khususnya bengkel kenderaan.
Katanya, pihaknya merampas minyak enjin, botol kosong, tong berisi cecair dan label jenama palsu dengan anggaran nilai jutaan ringgit.
“Minyak enjin berkenaan dijual lebih murah daripada harga pasaran antaranya melalui platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram selain diedarkan terus ke bengkel.
“Siasatan mendapati sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak dua hingga tiga tahun lalu dan menggunakan taktik menyamar sebagai pengeluar sah walaupun tidak mempunyai pengiktirafan rasmi,” jelasnya.
Mohammad Azlin berkata, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana bekalan minyak enjin diperoleh termasuk kemungkinan ia adalah minyak enjin yang diguna semula.
Tambah beliau, pihak KPDN akan menjalankan analisis terhadap sampel minyak enjin berkenaan di Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungannya.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan perihal palsu pada produk serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan saki-baki sindiket dan tidak menolak kemungkinan wujud jaringan lebih besar membabitkan premis lain yang masih aktif. – UTUSAN