Pesara rugi RM229,800 jadi mangsa pelaburan tidak wujud

Pesara rugi RM229,800 jadi mangsa pelaburan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Gara-gara terpedaya dengan janji ‘manis’ seorang wanita warga asing, seorang pesara kerajaan kerugian sebanyak RM229,800 selepas menyertai satu skim pelaburan tidak wujud, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu, pihaknya telah menerima laporan polis daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun berhubung kejadian itu, semalam.

Helmi berkata, menurut cerita mangsa, kejadian tersebut bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada suspek yang juga merupakan seorang warga Indonesia pada 4 Mac yang lalu, kira-kira pukul 2.52 petang.

Katanya, wanita bernama Zizah itu menyatakan bahawa mangsa adalah tukang paip yang akan membaiki paip di rumahnya, namun, dinafikan oleh lelaki tersebut.

“Sejak itu, mangsa dan suspek sering berhubung melalui perbualan telefon dan sepanjang perkenalan mereka juga, suspek telah mengajak mangsa untuk belajar membuat pelaburan dengan menjanjikan pulangan yang lumayan hanya dalam tempoh dua hari selepas pelaburan dibuat.

“Suspek juga telah menghantar satu pautan kepada mangsa untuk memuat turun satu laman sesawang iaitu timelessworld.vip. Mangsa yang berminat dan percaya kemudian telah membuat tujuh transaksi ke dalam lima akaun bank yang berbeza, namun, dalam jumlah yang kecil,” katanya di sini, hari ini.

Jelas Helmi, sepanjang tempoh pelaburan tersebut, mangsa telah mendapat pulangan modal serta keuntungan daripada pelaburan yang dibuat sebelum membuat tujuh transaksi lagi ke dalam akaun bank yang sama.

“Selepas transaksi itu dilakukan, mangsa bagaimanapun tidak lagi mendapat pulangan dan pada masa yang sama, suspek juga gagal untuk dihubungi. Mangsa seterusnya merasakan dirinya telah ditipu serta mengalami kerugian sebanyak RM229,800.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dan disebat serta boleh dikenakan denda,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN