PETALING JAYA : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan perkhidmatan atas talian agensi itu mengalami gangguan sementara waktu akibat kerja-kerja baik pulih sistem.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, walaupun terdapat gangguan, beberapa urusan masih boleh diteruskan melalui saluran alternatif yang disediakan.
“Bayaran Cukai Taksiran boleh dilakukan secara perbankan dalam talian menerusi JomPay, Maybank2u, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan juga di kaunter Pod Malaysia Berhad.
”Bagi bayaran sewaan harta, sewaan perumahan awam (PA/PPR), bil air perumahan dan bil air gerai pasar, pengguna boleh membuat pembayaran melalui JomPay”, katanya hari ini.
Dalam pada itu, DBKL berkata, urusan bayaran kompaun boleh diselesaikan di kaunter Pos Malaysia Berhad sepanjang tempoh gangguan ini.
DBKL dalam masa yang sama memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh warga kota dan menghargai kesabaran serta kerjasama yang diberikan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800-88-3255 untuk maklumat lanjut.
DBKL dalam kenyataan sama memberi jaminan bahawa usaha mempercepatkan pemulihan sistem sedang dijalankan bagi meminimumkan gangguan kepada orang ramai. – UTUSAN