PETALING JAYA: Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Bangkok, Thailand membincangkan usaha memulihkan negara itu, susulan bencana gempa bumi yang melanda pada 28 Mac lalu.
Pertemuan lebih satu jam itu berlangsung sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Thailand dan turut dihadiri bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada aspek bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat bencana.
“Dalam pertemuan ini, kami berbincang secara terbuka dan konstruktif dengan tumpuan kepada keperluan mendesak untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan, termasuk penempatan segera sebuah hospital medan.
“Kami turut menyentuh kepentingan mengembalikan Myanmar kepada keadaan sedia kala demi kestabilan dan keselamatan rakyatnya,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook, semalam.
Sementara itu, Anwar turut menyambut baik tindakan membebaskan 4,800 tahanan sempena sambutan tahun baharu tradisional negara itu.
“Tindakan sebegini memberi isyarat yang cukup bermakna. Kita mesti terus menggalakkan semua pihak untuk berunding secara serius demi kestabilan Myanmar dan kesejahteraan rakyatnya,” ujarnya.
Menurut laporan media Kerajaan Myanmar, ketua kerajaan tentera negara itu telah memberikan pengampunan kepada hampir 4,900 banduan.
Badan pemerhati bebas memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 22 daripada mereka yang dibebaskan adalah tahanan politik.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau dijadualkan bertemu dengan wakil-wakil Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar hari ini bagi meneruskan usaha diplomasi ke arah penyelesaian yang damai dan inklusif.
“Kami (ASEAN) terus menggalakkan semua pihak untuk terlibat secara serius demi kestabilan Myanmar dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, buat pertama kali, seorang ketua ASEAN akan mengadakan pertemuan dengan Min Aung Hlaing.
“Walaupun ASEAN masih berpegang pada Konsensus Lima Perkara sebagai syarat utama kerjasama dengan Myanmar, pertemuan ini diadakan atas dasar kemanusiaan.
“Gempa bumi melanda Myanmar baru-baru ini agak parah dan Jemaah Menteri bersetuju meneruskan bantuan termasuk melalui hospital sementara yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu mengorbankan 3,706 orang dengan 5,017 lagi cedera dan 130 masih hilang, setakat Selasa lalu.
Untuk rekod, Pasukan Khas Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia (SMART) telah berlepas ke Naypyidaw pada 30 Mac lalu, dua hari selepas gempa bumi melanda Myanmar.
Pasukan itu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menjalankan misi bantuan kemanusiaan. – UTUSAN