Peniaga jual barang kawalan tanpa lesen sah terbongkar

Peniaga jual barang kawalan tanpa lesen sah terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan seorang peniaga runcit serta seorang pengusaha restoran di Brickfields, Kuala Lumpur  yang menjual barang kawalan tanpa memiliki lesen sah terbongkar selepas premis mereka diserbu semalam.

Siasatan mendapati pemilik premis yang telah beroperasi sejak setahun lalu itu telah menggunakan alasan kononnya mereka baru berniaga bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, premis berkenaan telah beroperasi dengan alasan tidak tahu syarat lesen adalah tidak munasabah.

“Mereka sepatutnya tahu keperluan undang-undang sebelum memulakan perniagaan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi di sini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kedai terbabit merupakan antara lapan premis diperiksa dalam satu operasi bersepadu di bawah inisiatif “Kita Gempur” yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jelas beliau, operasi ini menyasarkan premis-premis yang disyaki melanggar undang-undang termasuk menjual barang kawalan tanpa permit dan manipulasi harga.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis menjual barang kawalan seperti minyak masak, gula, tepung dan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen sah.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati ada premis menyimpan barang kawalan dalam kuantiti melebihi had dibenarkan tanpa permit bertulis,” jelasnya.

Beliau menambah, restoran terbabit menggunakan barang kawalan dalam jumlah besar untuk tujuan memasak dan perdagangan, namun tiada sebarang kelulusan permit dikeluarkan.

“Kami telah membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], Peraturan 3(1) dan Peraturan 18 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana urus niaga dan penyimpanan barang kawalan tanpa lesen atau permit bertulis.

“Tindakan penyitaan dilakukan melibatkan barang kawalan seperti LPG, minyak masak, gula, tepung serta beberapa dokumen berkaitan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,500,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak terbabit,.

“Kompaun bernilai RM3,300 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] serta Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] turut dikeluarkan.

“Kesalahan terbabit termasuk tidak mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan,” jelasnya.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengeluarkan tujuh notis kompaun serta empat notis penutupan premis atas pelbagai pelanggaran peraturan pihak berkuasa tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN