GEORGE TOWN : Seorang pengurus akaun kerugian kira-kira RM1.36 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian menerusi satu aplikasi khas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun mula tertarik dengan pelaburan itu selepas melihat iklan berkaitan jual beli saham sekitar penghujung tahun lalu.
“Pelaburan yang dipromosikan itu menjanjikan pulangan antara lapan hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan dalam tempoh dua bulan. Mangsa kemudian memuat turun aplikasi tersebut sebelum mendaftar sebagai ahli dan mula membuat pelaburan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Hamzah, secara keseluruhannya, mangsa telah melakukan sebanyak 14 transaksi pindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian mencecah RM1.36 juta.
“Mangsa mula mengesyaki bahawa dia ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan iaitu sebanyak RM1 juta kononnya sebagai komisen bagi membolehkan pengeluaran keuntungan pelaburan yang dikatakan mencecah RM11 juta,” katanya yang memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, seorang ketua penyelia kilang di Bayan Lepas pula kerugian sebanyak RM558,000 akibat ditipu oleh skim pelaburan dalam talian yang melibatkan pembelian saham syarikat dari China menerusi media sosial iaitu Facebook.
Menurut beliau, mangsa, seorang lelaki berusia 57 tahun sebelum itu tertarik dengan satu iklan pelaburan yang dikongsi menerusi profil Facebook ‘AI Investment’ telah berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sekitar Februari lalu.
“Pelaburan ini menjanjikan pulangan keuntungan antara lima hingga 15 peratus dalam tempoh tiga hari menerusi tiga pakej pelaburan yang ditawarkan dengan nilai modal mencecah RM500,000,” katanya.
Jelas Hamzah, mangsa kemudian telah diminta memuat turun satu aplikasi menerusi pautan yang diberikan suspek sebelum membuat 29 transaksi pemindahan wang ke dalam 10 akaun bank yang berbeza.
“Mangsa juga dijanjikan menerima bayaran keuntungan sebanyak RM1.2 juta pada 24 hingga 25 April lalu. Namun, sehingga laporan polis dibuat semalam, tiada sebarang keuntungan yang diterimanya,” kata Hamzah yang memaklumkan, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN