Pengundi matang, isu remeh tidak jejas sokongan - Utusan Malaysia

Pengundi matang, isu remeh tidak jejas sokongan

M. SARAVANAN beramah mesra dengan peserta kejohanan bola sepak peringkat umur di Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Isu kandang babi dan insiden paip pecah yang dimainkan pihak tertentu pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak memberi kesan terhadap pengundi.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pengundi tempatan diyakini lebih rasional dalam membuat pilihan sekali gus menolak kempen berlandaskan isu remeh.

Katanya, naratif berkaitan pembangunan yang dibawa calon dan parti bertanding sebenarnya lebih mendapat perhatian penduduk yang mahu melihat komitmen kerajaan dalam memenuhi aspirasi tersebut.

“Kejadian paip bocor boleh berlaku di semua tempat, di Puchong ada, di Putrajaya pun ada. Insiden seperti ini kita tidak boleh elak.

“Kalau mereka sentuh isu kilang babi, kilang itu telah wujud lama dan tak akan selepas 50 tahun dan ketika pilihan raya baru mereka sedar?

“Kalau betul-betul mereka mahu jadi hero rakyat, sepatutnya mereka mulakan awal dan bukannya tunggu ada pilihan raya baru mahu tunjuk keikhlasan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Bola Sepak Grassroots U8, U10, U12 Piala Datuk Seri M Saravanan di Stadium Tun Ahmad Sarji di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu yang dibawa pembangkang itu tidak pernah mewujudkan bantahan besar dalam kalangan penduduk setempat sebelum ini.

Malah katanya, masyarakat Melayu di kawasan Tapah telah lama menunjukkan tahap toleransi yang tinggi terhadap kepelbagaian kaum dan bangsa.

“Sebagai wakil rakyat Parlimen Tapah, saya perlu mengaku sikap toleransi orang-orang Melayu di sini cukup tinggi. Kalau tidak, mereka tidak akan menerima saya sebagai wakil rakyat daripada kaum India selama empat penggal.

“Di sini (Tapah) ada wakil rakyat dari kaum Cina, India dan Melayu di mana ia jelas menunjukkan perpaduan di antara kita. Tapah satu-satunya ‘role model’ untuk negara bagaimana rakyat perlu memilih wakil mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya