KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, 31, menganggap pelantikannya sebagai duta Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap pelapis dunia seni tempatan.
Menurutnya, usia tidak sepatutnya dijadikan penghalang untuk terlibat dalam usaha memartabatkan industri filem tempatan, malah dia melihat peranan itu sebagai tanggungjawab yang harus digalas dengan yakin.
“Saya tahu akan ada yang mempersoalkan pemilihan saya, sedangkan ramai lagi artis yang layak. Tetapi saya juga tahu apa yang saya mampu bawa kepada MIFFest, terutamanya dalam menarik penonton muda,” katanya sempena Pelancaran festival itu baru-baru ini.
Daiyan dalam masa yang sama berharap penglibatannya itu dapat membuka ruang kepada artis muda untuk mengenali karya filem antarabangsa yang kurang diberi perhatian.
“Apabila mereka nampak saya terlibat, ada yang mula bertanya. Dari situ mungkin lebih ramai akan mula ambil tahu dan datang menyokong,” jelasnya.
Katanya, MIFFest adalah platform penting untuk mendidik masyarakat agar lebih terbuka terhadap pelbagai genre dan budaya dalam dunia perfileman.
Daiyan juga menegaskan bahawa beliau tidak melihat tugas itu sebagai beban, sebaliknya satu peluang untuk menyumbang kepada industri seni tanah air.
“Saya yakin dengan apa yang boleh saya sumbangkan, bukan sahaja melalui media sosial, tapi juga dengan cara saya berkomunikasi dan mewakili festival ini,” ujarnya. – UTUSAN