Pendang masih daerah tertinggi kes dadah

Pendang masih daerah tertinggi kes dadah

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam sidang akjbar beliau di Alor Setar, semalam. - SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pendang masih menjadi daerah tertinggi mencatatkan kes penyalahgunaan dadah di seluruh negara iaitu 1,798 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, angka itu menyaksikan peningkatan daripada 1,333 kes penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk yang dilaporkan pada tahun lalu.

“Selepas Pendang, empat daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai (1,442); Bachok (1,315), Tanah Merah (1,275) dan Pasir Putih (1,265) mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini.

“Kelantan mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia membabitkan 1,130 kes dalam setiap 100,000 penduduknya. Diikuti Terengganu 914 kes, Perlis (965) dan Kedah (898) bagi jumlah penduduk sama yang menyumbang kepada 192,857 kes penyalahgunaan dadah di seluruh negara,“ katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Ayob Khan berkata, melalui kajian dilakukan, sebanyak 47 peratus terlibat penyalahgunaan dadah kerana pengaruh rakan sebaya manakala 18 peratus lagi disebabkan sekadar ingin mencuba.

Tambahnya, polis akan memohon peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meningkatkan keupayaan dalam mengesan dadah sintetik termasuk jenis methamphetamine dan fentanyl.

Menurut beliau, perolehan peralatan khas amat penting bagi membantu pihaknya menangani ancaman dadah berasaskan bahan itu di negara ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, sebahagian tokan dadah dipercayai melarikan diri ke negara jiran susulan serbuan Op Kenari 1.0 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Kedah dari 9 April hingga semalam.

“Matlamat utama kita adalah membanteras tokan-tokan dadah iaitu untuk melumpuhkan aktiviti pembekalan dan pengedaran dadah di negeri-negeri yang kita klasifikasikan sebagai yang paling tinggi penagih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN