Pencemaran air: Penduduk cari alternatif teruskan hidup

Pencemaran air: Penduduk cari alternatif teruskan hidup

SEORANG pengguna menunjukkan kualiti air yang dilepaskan dari LRA Machang yang tidak boleh digunakan untuk urusan harian di Kampung Pauh Dara, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pencemaran air Sungai Rasau yang berpunca da­ripada racun di kolam peliharaan ikan sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut milik syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menutup operasi sejak lapan hari lalu, mengganggu urusan harian penduduk.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, rata-rata penduduk terpaksa mencari alternatif termasuk membeli air minuman atau mineral untuk kegunaan ha­rian seperti memasak.

Seorang penduduk, Ismail Awang Mat, 48, berkata, setiap hari dia membelanjakan RM20 untuk membeli air minuman atau mineral sejak seminggu lalu selepas pencemaran itu berlaku.

“Untuk membasuh dan mandi air terpaksa meminta belah ihsan rakan-rakan yang mempunyai perigi atau telaga tiub untuk mendapatkan bekalan.

“Walaupun penat memunggah air yang diisi dalam tong, saya tidak mempunyai pilihan. Jika tidak berbuat demikian, saya dan keluarga berkemungkinan besar tidak dapat mandi dan mengambil wuduk,” katanya ketika ditemui di Kampung Gajah Mati, di sini, semalam.

Bagi Zamri Hussain, 43, dari Kampung Pauh Dara pula, bekalan air yang disediakan oleh AKSB melalui jajaran LRA Machang terlalu perlahan.

“Sudahlah perlahan, kualiti pula tidak setara. Air berkeladak dan berwarna seperti kopi ‘O’. Nak guna pun saya tidak berselera.

“Kerana tiada pilihan, saya terpaksa ke Kuala Besut, Terengganu bagi membeli air terawat setiap hari bagi tujuan membasuh dan memasak,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pencemaran air Sungai Rasau yang berpunca daripada racun di kolam peliharaan ikan menyebabkan LRA Wakaf Bunut milik AKSB, tercemar sekali gus menjejaskan 8,500 akaun pengguna yang mula di kesan pada Jumaat lalu.

Sungai Rasau merupakan sumber bekalan air mentah kepada muka sauk bagi LRA Wakaf Bunut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN