BESUT: Seorang pemandu lori didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 32 ekor bebiri dan 21 ekor kambing tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Majistret Nurliyana Md. Zukri menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ismail Ab. Rahman, 33, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah juga mengarahkan hasil jualan haiwan terbabit berjumlah RM18,913.50 dilucutkan hak dan menjadi hasil kerajaan.
Mohamad Ismail dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Padang Landak, Besut pada pukul 11.30 malam, 21 Januari lepas.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut perenggan 4 (1) (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah Negeri Terengganu 2023, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM15,000 mengikut subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953. – UTUSAN