KUALA LUMPUR: Setiap perbuatan jenayah termasuk rogol tetap dianggap sebagai kesalahan di sisi undang-undang tanpa mengira siapa pelakunya, sama ada dewasa atau bawah umur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, undang-undang terpakai kepada semua tanpa mengira had umur meskipun bentuk mahkamah dan hukuman mungkin berbeza bergantung kepada umur pesalah.
Katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka minggu lalu.
“Saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai keputusan yang dibuat kerana ia mungkin melibatkan prosedur dalaman Kementerian Pendidikan (KPM).
“Namun, dari sudut undang-undang jenayah, kes berkenaan tetap dikategorikan sebagai kesalahan jenayah dan perlu disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli bersama wakil murid di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, pihak polis perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh sehingga tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Jika Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan hasil siasatan serta bukti yang ada, maka pendakwaan akan dilakukan.
“Jika pesalah itu di bawah umur 18 tahun, prosiding akan dijalankan di Mahkamah Kanak-Kanak, namun mereka tetap akan didakwa di bawah undang-undang jenayah,” katanya.
Azalina berkata, tanggapan bahawa pelaku bawah umur bebas daripada tindakan undang-undang adalah tidak benar, kerana prinsip keadilan menuntut agar setiap perbuatan jenayah tetap dipertanggungjawabkan.
“Salah tetap salah, jenayah tetap jenayah. Ia tetap kesalahan jenayah tanpa mengira siapa pelaku. Undang-undang tetap terpakai, cuma mahkamah dan bentuk hukuman mungkin berbeza,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Tiga trauma seumur hidup selepas dirogol beramai-ramai oleh beberapa pelajar Tingkatan Lima di dalam kelas sebuah sekolah di Melaka, baru-baru ini.
Lebih menjijikkan, perbuatan tersebut dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas kira-kira jam 2.50 petang pada minggu lalu.
Susulan itu, kesemua suspek telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan. – UTUSAN










