Pempengaruh media sosial sebar maklumat palsu disiasat

Pempengaruh media sosial sebar maklumat palsu disiasat

mcmc
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (SKMM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pempengaruh media sosial disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas didakwa terbabit dalam penyebaran maklumat palsu dan pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, pempengaruh tersebut disiasat mengikut peruntukan Akta Komunikasi & Multimedia (AKM 1998) selepas menerima aduan daripada orang awam.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan di ibu pejabat MCMC, Cyberjaya menerusi dua rakaman percakapan pada Jumaat lalu dan hari ini.

“Berdasarkan siasatan, kandungan tersebut dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan membabitkan penyebaran maklumat palsu berkaitan institusi diraja dengan dakwaan tidak berasas selain cubaan mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.

“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terbabit serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi,” katanya hari ini.

Laporan media tempatan sebelum ini melaporkan seorang pempengaruh media sosial hadir di ibu pejabat MCMC bagi memberi keterangan, didakwa berhubung kenyataan yang dimuat naik berkaitan seorang pemimpin politik di media sosial.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terbabit.

Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil dan mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998 serta sebagai langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan.

“MCMC mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN