Pembayaran digital dedah pengguna risiko jenayah penipuan

Pembayaran digital dedah pengguna kepada risiko jenayah penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Transaksi pem­bayaran digital membantu meningkatkan ekonomi negara namun penggunanya berisiko terjerat hutang seperti perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dan jenayah penipuan.

Penganalisis ekonomi, Dr. Wan Farisan Wan Sulaiman berkata, meskipun penggunaan sistem pembayaran digital dilihat baik dalam pertumbuhan ekonomi negara daripada segi penggunanya yang ramai, namun ia perlu dipantau dengan ketat.

“Mereka yang menggunakan sistem ini akan berdepan de­ngan hutang sekiranya ia digunakan secara tidak terkawal seperti perkhidmatan BNPL.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tabiat golongan muda da­lam budaya membeli yang me­lampau akan menyebabkan mereka terperangkap dengan risiko hutang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, dilaporkan transaksi e-pembayaran runcit terpilih pada tahun lalu mencecah RM698.1 bilion, meningkat sebanyak 17 peratus, disokong kerancakan aktiviti penggunaan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menerusi Laporan Tahunan 2024 berkata, transaksi keseluruhan e-pembayaran meningkat sebanyak 28 peratus kepada 14.7 bilion transaksi tahun lalu berbanding 11.5 billion transaksi pada tahun sebelumnya.

ADS:D

Menurut BNM, perbankan dalam talian kekal paling banyak digunakan dengan peningkatan 24 peratus pada 2024, sementara daripada segi saluran, bahagian perbankan mudah alih mencatatkan 62 peratus, lebih tinggi daripada perbankan internet.

Perkhidmatan BNPL merupakan salah satu cabang pembayaran e-pembayaran namun hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan hutang isi rumah iaitu 0.2 peratus atau RM2.8 bilion.

Dalam pada itu, Wan Farisan berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, pengguna perlulah membuat pembelian mengikut keperluan dan menilai keupayaan mereka membayar hutang sebelum membuat pembelian.

Katanya, syarikat pemberi khidmat kredit perlu mengawal pemberian kredit dengan membuat penilaian terlebih dahulu kepada pengguna untuk memastikan mereka mampu membayar dan elak risiko hutang.

Dalam pada itu, pakar ekonomi, Datuk Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, penggunaan sistem e-pembayaran baik untuk meningkatkan ekonomi negara kerana kecekapannya melakukan transaksi dan menjimatkan masa.

Namun, katanya, pengguna akan berhadapan dengan risiko keselamatan data dan penipuan duit sekiranya tiada pengawalseliaan yang baik daripada pihak sepatutnya.

“Bank Negara Malaysia perlu mengawal selia keselamatan maklumat teknologi (IT) dan meningkatkan kualiti aplikasi digital dan laman web.

“Pendidikan awal juga diperlukan bagi mengelakkan penipuan berlaku kerana kebiasaanya perkara ini disebabkan sistem yang tidak mantap,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN