PETALING JAYA: Tindakan pemaju projek Kampung Sungai Baru, Kampung Baru awal-awal memindahkan 67 peratus pemilik flat dan lot rumah teres yang bersetuju dengan pembangunan disifatkan sebagai salah hingga mengakibatkan isunya terus berlarutan.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani berkata, sebagai pemaju bertanggungjawab, syarikat tersebut tidak sepatutnya memindahkan 67 peratus pemilik yang bersetuju keluar daripada kediaman mereka.
Sebaliknya, katanya, pemaju sepatutnya membiarkan mereka terus menetap di kediaman masing-masing pada masa sama menjalan rundingan dengan kira-kira 33 peratus lagi pemilik yang masih tidak bersetuju dengan projek tersebut.
“Dia (pemaju) tidak boleh pindahkan 67 peratus ini dan sepatutnya dibiarkan terus menetap di situ dulu kerana mereka sudah pun ada perjanjian, cuma dia perlu berurusan dengan 33 peratus lagi.
“Jika proses berurusan dengan 33 peratus ini mengambil masa sampai lima tahun pun tak apa, orang pun tak marah sebab dia masih duduk di situ,” katanya ketika ditemubual dalam Podcast Utama Buletin TV3 yang disiarkan malam ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu mendakwa, pemaju juga mengambil peluang dalam kekeliruan yang timbul dalam isu tersebut untuk membuat keuntungan secara tidak langsung terhadap nilaian tanah memandangkan 67 peratus pemilik flat dan lot rumah teres sudah pun memindahkan aset tersebut ke atas nama syarikat.
“Esok jika syarikat ini atas apa jua alasan dia tak boleh buat (teruskan projek), jatuh bankrap, 67 peratus ini tiada hak hendak ambil tanah ini kerana ia sudah (ditukar) atas nama dia (pemaju),” katanya.
Beliau berkata, sejak kembali menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa, ramai pemilik yang sudah berpindah keluar datang berjumpanya untuk meminta bantuan supaya projek dipercepatkan memandangkan ia sudah hampir satu dekad tertangguh.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan mereka sudah pun menandatangani perjanjian dengan pemaju walaupun sudah dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian sejak tahun 2017.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan tindakan pemaju memindahkan 67 peratus pemilik bersetuju keluar dari Kampung Sungai Baru sedangkan urusan dengan 33 peratus lagi masih belum selesai.
“Dalam perjanjian pun ada tulis, dia (pemaju) diberi masa lima tahun untuk selesaikan supaya semua bersetuju, kalau perlu ambil masa (sehingga) lima tahun untuk semua bersetuju kenapa pindahkan 67 peratus itu awal-awal,” katanya.
Tegas Johari, projek itu tidak boleh dibiarkan terbengkalai walaupun proses mahkamah membabitkan sekitar 55 pemilik yang tidak berpuas hati dengan pampasan diberikan masih berjalan.
Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan pemaju untuk menyiapkan projek tersebut disebabkan beberapa isu kewangan termasuk pampasan diberikan kepada pemilik.
“Projek ini perlu dipastikan tidak terbengkalai kerana jika tunggu mahkamah membuat keputusan mengenai pampasan, walaupun ada pemilik sudah memperolehnya, mungkin ambil masa enam, tujuh, lapan tahun lagi.
“Jika kes tidak memihak kepada mereka di Mahkamah Tinggi, ia akan dibawa ke Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan. Sementara nak menunggu selesai, berapa ramai yang meninggal dunia, termasuk 67 peratus yang bersetuju itu?
“Apabila penama meninggal dunia, kena ada probet (proses membuktikan secara rasmi kesahihan atau keabsahan wasiat) dan proses seterusnya akan menjadi semakin rumit berikutan tertangguh lama,” katanya. – UTUSAN