Pelajar sekolah diacu pisau ketika sedang berjoging

Pelajar sekolah diacu pisau ketika sedang berjoging

Pelajar diacu pisau
PELAJAR tingkatan tiga alami kecederaan pada bahagian pipi dan kedua lengan selepas bergelut dengan lelaki yang menyerangnya ketika sedang berjoging dekat Seksyen 13, di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan tiga berdepan detik hitam apabila diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang beriadah dekat Seksyen 13, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berkenaan dikatakan bertindak agresif selepas pelajar lelaki itu enggan menuruti arahan supaya menaiki kereta bersama mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa mendakwa didatangi sebuah kereta sedan berwarna kelabu yang dinaiki oleh dua lelaki terbabit.

Menurutnya, salah seorang suspek kemudian turun dari kereta dan mendekati mangsa sebelum berlaku pergelutan sehingga menyebabkan dia lari ke pondok keselamatan sebuah kondominium berhampiran.

“Ketika itu mangsa sedang berjoging, salah seorang suspek turun dari kereta Proton Saga lama itu lalu mengacukan pisau dan mengarahkan pengadu supaya masuk ke dalam kenderaan tersebut.

“Bagaimanapun, pengadu enggan dan bergelut dengan suspek sebelum berjaya melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Mohd. Iqbal, bagaimanapun akibat pergelutan tersebut, mangsa mengalami luka pada pipi kanan serta bahagian lengan kanan dan kiri sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Katanya lagi, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani ditalian 017-2892628. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya