Pelajar maut dilanggar bas dalam kampus - Utusan Malaysia

Pelajar maut dilanggar bas dalam kampus

MANGSA meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB selepas cedera dilanggar bas dalam kejadian di UUM, Sintok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang pelajar wanita Universiti Utara Malaysia (UUM) maut dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok, pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang cedera di badan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Pelajar semester empat Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan berasal dari Johor itu sedang menunggu giliran untuk menaiki bas terbabit sebelum kenderaan itu dilanggar sebuah lagi bas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas pertama sedang berhenti di perhentian itu untuk mengambil penumpang.

“Kenderaan itu tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi bas. Impak pelanggaran menyebabkan bas di hadapan menggelongsor ke hadapan dan melanggar besi penghadang jalan lalu menghimpit mangsa yang sedang menunggu giliran untuk menaiki bas pertama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua pemandu bas masing-masing berusia 32 dan 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap berhubung kemalangan itu, selain mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM menghubungi polis bagi menyiasat insiden itu.

“Pihak polis sedang melakukan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan itu dan UUM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan penuh yang akan diterima,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya