BACHOK: Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, yang meraih keputusan 9A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sebak selepas terpilih menjadi salah seorang penerima bantuan lesen memandu percuma tajaan Akademi Memandu Kist Sdn. Bhd. (AmKist).
Puteri Nur Ain Zulaikha berkata, sumbangan itu membantu meringan beban keluarga keluarga angkatnya memandangkan kos untuk mendapatkan lesen agak tinggi.
“Saya tidak terfikir langsung untuk mengambil lesen motosikal mahupun kereta dalam masa terdekat kerana mahu memberi fokus sambung belajar. Untuk sambung belajar perlukan banyak wang.
“Namun selepas menerima panggilan daripada Amkist yang mahu menaja, saya teruja dan bersyukur kerana ia amat membantu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Siti Noraisya Abdul Jalil, 18, yang mendapat 7A, 1B meluahkan rasa syukur kerana menjadi salah seorang penerima bantuan lesen B2 dan D percuma tajaaan Amkist.
Katanya, bantuan itu membolehkannya menunggang motosikal secara sah dan memudahkan urusan jika melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) nanti.
“Saya bercadang ke Institusi Pendidikan Guru (IPG) untuk menggapai cita-cita sebagai guru Sejarah dan Bahasa Melayu,” ujarnya. – UTUSAN










