KUALA LUMPUR: Tiada had umur maksimum ditetapkan bagi pemilikan atau pembaharuan lesen memandu di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendekatan dasar sedia ada adalah berasaskan keupayaan dan tahap kesihatan seseorang individu untuk memandu dengan selamat dan bukannya berdasarkan umur semata-mata.
“Bagi pemegang lesen vokasional seperti pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam, pemeriksaan kesihatan berkala diwajibkan sebagai syarat pembaharuan lesen.
“Bagi lesen memandu kompeten (CDL) pula, Jabatan Pengangkutan Jalan boleh menggantung atau membatalkan lesen sekiranya seseorang pemandu disahkan tidak lagi layak daripada segi kesihatan untuk memandu dengan selamat,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai rancangan menetapkan had umur maksimum bagi pemilikan lesen memandu di Malaysia sebagai langkah meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya khususnya melibatkan pemandu warga emas. – UTUSAN










