PBAPP siap pasang paip baharu menerusi projek SP-RCP

PBAPP siap pasang paip baharu menerusi projek SP-RCP

KON Yeow (tiga dari kanan) ketika meninjau kerja pemasangan paip baharu di Ampang Jajar, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Saluran paip baharu berdiameter 1.35 meter telah siap dipasang menerusi projek Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) yang bernilai RM8.7 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, pihaknya hanya menunggu kerja-kerja penyambungan akhir dilaksanakan iaitu semasa ketika Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) pada 25 April ini.

Menurut Kon Yeow, projek SP-RCP itu merupakan penyelesaian akhir bagi isu paip air di Sungai Perai dan penyambungan paip kepada rangkaian bekalan air sedia ada di negeri ini adalah sebagaimana yang telah dijanjikan pada Januari 2024.

Katanya, pada Disember 2023, paip di bawah air berukuran 1.35 meter itu telah pecah dan menyebabkan Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual (UWSI) yang menjejaskan kira-kira 200,000 pengguna air di Daerah Barat Daya.

“Jadi, sebagai penyelesaian jangka sederhana, PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) telah memasang dua unit paip berukuran 600 milimeter (mm) di sepanjang Jambatan Ampang Jajar.

“Dalam tempoh 15 bulan lalu, paip-paip berkenaan berfungsi sebagai sebahagian daripada rangkaian paip yang menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) ke bahagian pulau.

“Saluran paip ini akan dihentikan operasinya selepas SP-RCP disambungkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek di Ampang Jajar di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, projek SP-RCP berpotensi untuk menyalurkan 250 peratus lebih banyak air terawat merentasi sungai berbanding dua saluran paip 600 mm sedia ada.

“Selain itu, dua saluran paip sedia ada bersaiz 600 mm yang merentasi Sungai Perai juga telah dipasang pada Jambatan Ampang Jajar. 

“Jambatan ini dibina untuk menampung beban trafik kenderaan biasa dan bukan untuk menampung beban tambahan daripada saluran paip air,” katanya.

Susulan pelaksanaan kerja-kerja ini, seramai 341,708 pengguna akan terkesan oleh gangguan bekalan air yang akan berlaku antara 24 jam hingga 60 jam pada 25 April depan.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut serta peta tapak projek disarankan melayari laman Facebook rasmi PBAPP atau laman web www.pba.com.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN