KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan sentiasa dikenang sebagai figura penting dalam memodenkan Unit Tindakan Khas (UTK) selain pemimpin yang tidak mengenal darjat atau pangkat.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi menyifatkan Allahyarham Abdullah merupakan pemimpin yang sentiasa menjaga kebajikan pegawai dan anggota yang bekerja dengannya tanpa mengenal pangkat.
Beliau yang pernah menjadi Ketua Kawalan Rapat Unit Tindakan Khas (UTK) bermula 2003 sehingga 2009 berkata, Allahyarham Pak Lah turut membantu meningkatkan litupan kawalan keselamatan dengan peralatan berteknologi dan moden UTK.
“Beliau (Allahyarham) adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat tanpa mengenal darjat dan pangkat.
“Jasanya dalam meningkatkan teknologi UTK sangat besar dan akan dikenang.
“Malah, Allahyarham turut memberi kelulusan kepada UTK dalam menaik taraf KRK dengan penggunaan motosikal pengiring Honda ST Pan European dan penggunaan SUV XC 90,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohamad Suzrin, beliau turut berpeluang mengiringi Abdullah atau dikenali Pak Lah dalam beberapa lawatan rasmi dalam dan luar negara antaranya di China , Uzbekistan, Australia, Argentina dan Amerika Syarikat.
Katanya, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika mengiringi Pak Lah di satu lawatan rasmi di Amerika Syarikat yang ketika itu Allahyarham isterinya, Datin Seri Endon Mahmood turut mendapatkan rawatan kanser di sana.
“Beliau (Allahyarham) sangat tenang dan sabar walaupun pada masa sama Datin Seri sedang mendapatkan rawatan terakhir,” katanya.
Jenazah Allahyarham Abdullah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara di sini kira-kira pukul 2.15 petang semalam.
Kelmarin, media melaporkan Abdullah atau Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), kira-kira 7.10 petang.
Berita itu dikongsikan Khairy Jamaluddin yang juga menantu Abdullah menerusi Instagram Story.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5, telah kembali ke rahmatullah pada pukul 7.10 petang di Institut Jantung Negara, KL.
Allahyarham berusia 85 tahun dilahurkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.- UTUSAN










