PETALING JAYA: Paip gas yang terbakar di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lalu tidak mungkin mengalami kebocoran kecuali berlaku kecuaian oleh sesetengah pihak seperti pencerobohan secara tidak sengaja dengan menggali atau berlaku hakisan tanah yang teruk.
Bekas jurutera projek Petronas Gas Berhad (PGB), Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, ketebalan dan kualiti paip saluran gas itu direka khas untuk memastikan ketahanannya dalam jangka masa panjang, memandangkan ia tidak boleh diganti setiap 10 tahun akibat kos yang terlalu tinggi.
Katanya, tempoh jangka hayat paip saluran gas itu melebihi 50 tahun dan ia tidak sampai kepada tempoh itu lagi.
Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB) berkata, selain faktor jangka hayat, kebocoran pada saluran paip juga boleh berlaku akibat pencerobohan di kawasan Right of Way (ROW) tanpa pemantauan rapi daripada
Petronas atau pergerakan tanah seperti tanah runtuh yang berpotensi memberi tekanan berlebihan pada paip.
“Tidak mungkin paip itu pecah dengan sendirinya kecuali jika seseorang secara tidak sengaja menggali atau berlaku hakisan tanah yang teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Kamarizan Kidam tidak menafikan kemungkinan terdapat pencerobohan pada tanah yang diwartakan sebagai kawasan berisiko tinggi dan telah berpagar.
Katanya, saluran paip gas tersebut direka bentuk dengan baik namun, masalah utama yang timbul adalah pencerobohan ke kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan berisiko tinggi oleh pihak pemaju dan kontraktor.
“Kes ini tertakluk kepada dua undang-undang utama, iaitu Peraturan Kawalan Bahaya Kemalangan Besar Industri 1996 (CIMAH Regulations 1996) dan Peraturan Reka Bentuk dan Pengurusan Kerja Pembinaan 2024 (CWDM Regulations 2024),” katanya.
CIMAH 1996 bertujuan mengawal kejadian kemalangan besar seperti ini dengan memastikan pengendali gas bertanggungjawab dalam menyelenggara dan menguruskan pemasangan gas dengan baik.
Sementara itu, CWDM 2024 ditetapkan untuk pemaju, pereka bentuk dan kontraktor dalam projek pembinaan, bagi memastikan keselamatan pekerja serta orang awam sepanjang proses pembinaan.
“Dalam insiden ini pemaju atau pelanggan yang melanggar Peraturan 4CWDM 2024 kerana gagal memastikan kontraktor tidak menceroboh kawasan berisiko tinggi, iaitu saluran paip gas.
“Peraturan ini mewajibkan pemaju untuk mengenal pasti semua bahaya berkaitan pembinaan sebelum kerja-kerja dijalankan bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan,” katanya. – UTUSAN