SHAH ALAM: Dua wanita masing-masing pembantu klinik swasta dan ejen ditahan bagi membantu siasatan kes pemalsuan butiran pengesahan kelahiran bayi menjadi anak sah menerusi Ops Birth.
Suspek tempatan berusia 43 dan 49 tahun itu direman selama lima hari selepas ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor antara pukul 1.10 hingga 1.15 petang semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati ejen berusia 49 tahun itu disyaki bertindak menguruskan dan menyediakan dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital di sekitar Selangor.
“Pembantu klinik itu pula dipercayai menyamar sebagai penjawat awam bagi membantu dalam permohonan pendaffaran kelahiran dengan menerima rasuah daripada seorang pemohon.
“Mereka berdua disyaki berpakat dalam urusan pemalsuan borang daftar kelahiran bayi itu,” katanya hari ini.
Tambah sumber itu, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Utusan Malaysia pada 16 April lalu melaporkan seramai 14 individu ditahan bagi membantu siasatan kes pemalsuan itu.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 28 hingga 49 tahun itu dipercayai melakukan permohonan palsu berkenaan antara 2015 hingga 2023.
Siasatan awal mendapati semua individu itu mendapatkan khidmat ejen bagi mengurus dan menyediakan dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital sekitar negeri ini.
Mereka dipercayai membayar wang antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi tujuan mendapatkan pengesahan dokumen itu.
Difahamkan, mereka tidak mempunyai anak namun mahu mendapatkan anak dengan memalsukan dokumen sijil lahir. – UTUSAN