SEREMBAN: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di sini terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas terdapat aduan air Sungai Linggi di muka sauk LRA tersebut berbau diesel malam semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, pasukan penguatkuasaan Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan telah menerima aduan berkenaan tumpahan minyak dikesan di LRA tersebut sekitar pukul 10.50 malam.
Menurutnya, pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) telah mengesan kehadiran cecair seakan minyak bewarna kehitaman di permukaan air Sungai Linggi di sekitar kawasan muka sauk LRA.
“Air sungai mengalir deras dan kemudian sekatan air sungai dibuka oleh pihak Sains. Pasukan penguatkuasaan BKSA telah memulakan siasatan kira-kira pukul 12 tengah malam dan tiba di lokasi kawasan bengkel di Taman Angsamas.
“Siasatan dipecahkan kepada dua kumpulan dan memberi fokus kepada kawasan dari Kuala Sawah membawa ke Taman Angsamas. Ini kerana, siasatan serta tindakan pihak Sains di Sungai Linggi mendapati tiada kesan minyak di kawasan upstream (hulu) sungai semenjak petang sebelum kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Veerapan berkata, pasukan BKSA dan Sains telah mengesan bau seakan minyak di sekitar kawasan bengkel Angsamas namun tiada kesan warna dan bau minyak dikesan daripada air yang mengalir di dalam longkang ke dalam sungai di semua akses yang dapat dimasuki oleh kedua-dua pihak.
Bagaimanapun menurutnya, kira-kira pukul 2.30 pagi, pihak Sains memaklumkan bacaan bau adalah 8 ton dan tiada lagi kesan minyak di permukaan air Sungai Linggi.
Menurutnya, pihak SAINS telah memaklumkan bacaan ton LRA Sungai Linggi pada pukul 4 pagi adalah lima ton dan pada pukul 7 pagi 0 ton serta pam air untuk flushing (pembersihan) sedang dijalankan.
Sementara itu, Sains dalam kenyataan memaklumkan terpaksa menghentikan operasi LRA Sungai Linggi berikutan masalah sumber air mentah berbau diesel serta gangguan air melibatkan kawasan Port Dickson dan Seremban.
“Kawasan di Port Dickson yang terlibat iaitu dari sebahagian kawasan Batu 6 Jalan Pantai, Batu 4 Jalan Pantai, Jalan Sua Betong, Air Kuning dan Tampin Linggi hingga sekitar kawasan Pekan PD. Selain itu, dari kawasan Pekan Port Dickson sehingga sekitar kawasan Lukut, dari simpang Bukit Palong, Chuah dan Bukit Pelandok sehingga Tanah Merah Site A.
Bagi kawasan Seremban pula ialah dari Pekan Rantau sehingga sebahagian kawasan Sungai Gadut.
Loji akan beroperasi semula secara berperingkat setelah punca air mentah tidak lagi berbau (0 ton). – UTUSAN