KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan adalah suatu yang tragis dan menyakitkan apabila 14,494.908 hektar tanah kerajaan negeri diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian serta pelbagai hasil bumi.
Lebih malang titah baginda, 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga diceroboh, kononnya atas nama pertanian tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.
“Masalah ini bukan baru bermula semalam. Ia telah berakar sejak lebih empat dekad lalu, ia berlaku tanpa pengetahuan beta. Namun, bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan. Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam.
Sebaliknya, kita berhasrat untuk menokhtahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram ini.
“Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran. Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah yang maha adil menentukan dan menjatuhkan hukumnya. Bagaimanapun, adalah menjadi hasrat dan pendirian kita bersama, sebagaimana sudah dipersetujui oleh kerajaan negeri untuk membuka lembaran baharu dengan pendekatan yang lebih mampan, adil dan menyeluruh.
“Pendekatan yang tidak sekadar menghukum, tetapi juga membina. Yang tidak hanya menamatkan pencerobohan, tetapi memulihkan semula maruah undang-undang serta menjana hasil kepada tanah negeri ini,” titah baginda pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di sini semalam.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda berbangga dan menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan, memotong pokok-pokok ditanam secara haram dan juga menutup lombong-lombong yang dibuka tanpa rasa malu dan takut.
Sultan Pahang menegaskan, seiring keputusan kerajaan negeri tersebut, tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang sudah diceroboh secara haram.
“Ini adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat. Tambahan pula, keadaan hari ini membimbangkan, apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan. Beta ingin mengingatkan, perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri, tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta.
“Apa lebih mendukacitakan, terdapat segelintir pihak termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela kepada undang-undang, sebaliknya memilih menyokong perbuatan yang tidak bertamadun ini. Tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi, bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri. Janganlah kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan dan perbuatan salah dimuliakan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan pentadbir tanah di semua peringkat wajib menjadi benteng hadapan, bukan boneka yang diperalatkan.
“Jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri. Jangan terpedaya dengan naratif, kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat. Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih, dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang, atau siapa yang berani menekan atau yang paling banyak menghulur,” titah Sultan Pahang.
“Pentadbir tanah sepatutnya menjadi perisai negeri ini, daripada sebarang pencerobohan dan salah laku, bukan menjadi pelindung kepada perbuatan terlarang, yang dihalalkan dengan alasan retorik.
“Beta tidak akan sesekali berkompromi, jika ada yang mengkhianati amanah dengan menjadi agen pencerobohan, yang terang-terangan mencabar keluhuran undang-undang negeri ini. Amanah yang diberi, jangan sekali-kali dicemari dengan pengkhianatan,” titah Sultan Pahang.
Al-Sultan Abdullah bertitah, mulai saat ini, negeri ini sentiasa terbuka dan memberi laluan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UPNP untuk bertindak tegas tanpa pilih kasih.
“Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang. Sesiapa sahaja yang didapati menyalahgunakan kuasa, bersekongkol dalam urusan yang menyalahi undang-undang khususnya melibatkan pencerobohan tanah, wajib dibawa ke muka pengadilan. Malah, beta tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu, menghalang atau mencabar kuasa penguatkuasa dan penjawat awam ketika menjalankan tugas,” tegas baginda.
Sultan Pahang turut menegaskan, undang-undang tidak boleh dipijak sesuka hati dan kedaulatan negeri ini tidak boleh dipersendakan.
“Beta sentiasa bersama kalian, yang berjuang mempertahankan tanah air ini daripada dijajah, diperkosa dan dinodai tanpa rasa berdosa. Janganlah pentadbiran kerajaan beta bersikap lesu dan longlai, jadilah mata dan telinga beta, bukan mulut yang hanya tahu menyedapkan telinga. Jadikan ‘episod hitam’ ini sebagai pengajaran dan ingatan untuk semua yang berkuasa,” titah baginda. – UTUSAN