Nik Nazmi tetap pertahan Naib Presiden PKR

Nik Nazmi tetap pertahan Naib Presiden PKR

NIK Nazmi Nik Ahmad ketika berucap pada Majlis Perasmian panel solar baharu sempena Hari Bumi Sedunia di Ikea Damansara - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun tewas dalam pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad kekal pendirian mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti akan datang.

Menurut beliau, pendirian itu sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan ahli parti untuk menilai prestasi serta sumbangannya sepanjang memegang jawatan tersebut.

“Setakat ini, seperti yang saya pernah nyatakan, saya akan mempertahankan jawatan tersebut.

“Insya-Allah, kita kekal dengan keputusan itu,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Panel Solar Baharu sempena Hari Bumi Sedunia 2025, di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rombakan Kabinet akan berlaku susulan kekalahan beberapa nama besar dalam pemilihan PKR ketika ini.

Menurutnya, pemilihan di peringkat parti tidak mempunyai kaitan dengan Kabinet, dan segala isu berbangkit akan dibincangkan dalam mesyuarat khas yang dijadual berlangsung pada Rabu ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, parti akan meneliti semula proses pemilihan yang lalu, termasuk isu-isu yang dibangkitkan, bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan menjelang pemilihan akan datang.

“Kita akan bincang perkara ini dalam Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP). Malah, Perdana Menteri sendiri telah menyatakan hasrat untuk memastikan proses pemilihan kali ini berjalan dengan baik dan telus.

“Kita akan nilai dan perbaiki apa yang perlu sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi. Tapi jika ada apa-apa pengumuman besar nanti, kita akan maklumkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status rayuan keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), beliau berkata perkara itu tertakluk sepenuhnya kepada badan tersebut.

“Kita sudah buat rayuan, tapi kalau nak tahu bila keputusan akan keluar, itu kena tanya JPP,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN