Nelayan miliki rumah sendiri selepas 40 tahun

Nelayan miliki rumah sendiri selepas 40 tahun

AHMAD Zulkifli Ismail (tengah) menyerahkan geran tanah dan rumah kepada empat keluarga nelayan di Tanjung Dawai, Sungai Petani, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Impian empat keluarga nelayan memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila menerima geran tanah beserta rumah di penempatan nelayan Tanjung Dawai, di sini.

Salah seorang penerima, Jamaliah Ahmad, 63, berkata, dia bersyukur kerana penantian lebih 40 tahun berakhir apabila dimaklumkan sudah layak menerima geran tanah dan rumah peninggalan arwah suaminya, Abdullah Daud.

“Alhamdulillah, sebelum ini rumah ini dibiayai oleh suami saya dengan hasil titik peluh dia sebagai nelayan dengan kadar bayaran RM50 sebulan.

“Selepas dia meninggal, saya hadapi kesukaran hendak bayar sebab tiada pendapatan, namun saya usaha juga dengan menjual makanan kecil-kecilan untuk selesaikan bayaran bulanan sehingga berjaya dapat geran hari ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kepada peserta Konsep Unit Keluarga (KUK), hari ini.

Seorang lagi penerima, Mohd. Abdul Rashid, 78, berkata, dia gembira kerana akhirnya dapat memiliki rumah dan tanah sendiri demi keselesaan ahli keluarga.

“Dulu susah, pendapatan nelayan pula tidak menentu, hendak bayar bulanan RM50 sebulan pun kadang-kadang terlepas juga. Syukur setelah lebih 40 tahun rumah ini jadi hak milik kekal kami sekeluarga.

“Nilai rumah ini dahulu sekitar RM14,000 sahaja tapi kalau dinilaikan semula sekarang sudah cecah RM200,000 sekali tanah. Terima kasih kepada kerajaan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kerana wujudkan inisiatif ini kepada keluarga nelayan seperti kami,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah LKIM Kedah, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, pihaknya sudah membelanjakan kira-kira RM55 juta untuk membaik pulih dan membina rumah baharu nelayan di seluruh negeri sejak 40 tahun lalu. 

Katanya, setiap keluarga yang menerima rumah perlu membayar secara ansuran mengikut perjanjian ditetapkan dan apabila pembayaran penuh dilakukan, LKIM akan menyerahkan geran kepada ketua isi rumah berkenaan. 

“Sebelum ini kami sudah buat penyerahan membabitkan 100 buah rumah KUK, LKIM sangat komited menjaga kebajikan keluarga nelayan termasuk ekonomi dan sosial. 

“Dari tahun tahun 1980-an harga yang mereka perlu bayar secara bulanan cuma RM50 manakala rumah baharu untuk nelayan yang terkini sebanyak RM150 sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya