PETALING JAYA: Usahawan, Ezwan Zain atau Mr. E, enggan hubungannya dengan pelakon, Erra Fazira terbiar tanpa ikatan yang serius.
Walaupun Ezwan, 44, menyimpan hasrat untuk menjadikan pelakon Hingga Hujung Nyawa itu sebagai isteri, namun dia tidak mahu semuanya berlaku secara terburu-buru.
“Benda yang baik, kalau boleh mahu cepat. Tahun ini atau tahun depan.
“Erra tidak letakkan apa-apa syarat, cuma kami sudah di fasa yang lebih matang hanya mahu mencari keserasian.
“Kita lalui semua tanpa tekanan, tenang-tenang sahaja. Kita ikut sahaja, tapi kena ada perancangan agar (hubungan) tidak di awang-awangan sahaja,” katanya.
Ezwan dan Erra ditemui Utusan Malaysia di majlis rumah terbuka MindOrder Management di Kueh, Petaling Jaya, semalam.
Dalam pada itu, Erra juga mengakui, dia dan Ezwan juga melalui fasa ujian dalam perhubungan sama seperti pasangan bercinta yang lain.
“Siapa yang tiada ujian? semua orang melalui itu. Cuma disebabkan kematangan, kami melihat ujian bukan satu penghalang.
“Setiap kesulitan pasti ada jalan penyelesaian. Kita cari titik penyelesaian.
“Dalam fasa saya ini, kadang saya terfikir juga perlukan (berkahwin)? namun untuk jangka masa panjang dan kebaikan dunia akhirat, saya perlu juga ke arah itu.
“Ada masanya terfikir juga, bila kita sudah biasa solo, kita sudah selesa. Sesi perbincangan bagus sebab kami bercakap tentang matlamat, tidak mahu seronok dunia sahaja,” katanya.
Terdahulu, Erra mengesahkan hubungannya dengan Mr E terjalin sejak Ogos tahun lalu.
Bekas Ratu Cantik Malaysia itu juga sempat mencuri perhatian apabila melakukan sesi siaran langsung bersama Ezwan di platform media sosial. -UTUSAN