Mohamad Yusri pergiat kempen melalui media sosial - Utusan Malaysia

Mohamad Yusri pergiat kempen melalui media sosial

MOHAMAD Yusri Bakir (dua dari kiri) menghadiri sambutan Aidilfitri di Taman Sri Bidor, Bidor hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Berbaki dua hari tempoh berkempen, calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir akan mempergiatkan usaha mendekati golongan muda dengan menggunakan strategi kempen melalui media sosial.

Menurut Mohamad Yusri, 54, penggunaan media sosial dilihat memberi kesan yang baik bagi meraih sokongan pengundi selain kempen bersemuka dengan pergi rumah ke rumah.

Malah katanya, kempen melalui medium itu juga digunakan bagi menyeru pengundi untuk pulang ke kampung bagi membuang undi Sabtu ini.

“Kita ada dua hari lagi sehingga Jumaat ini, insya-Allah kita akan melipatgandakan kempen di saat-saat akhir ini untuk memenangi hati pengundi di Ayer Kuning.

“Selain kempen dari rumah ke rumah, kita juga pelbagaikan cara kempen termasuk melalui platform digital. Langkah ini sangat baik kerana ia merupakan usaha yang bersesuaian dengan generasi muda.

“Melalui cara ini, kita boleh tunjukkan tawaran dan terangkan kepada mereka. Dari segi akses, generasi baru ini boleh mendapatkan maklumat walau mereka duduk di mana pun,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau merayu semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang merantau atau bekerja di luar kawasan agar pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini.

“Saya merayu kepada semua pengundi termasuk pengundi luar terutama yang mahu memangkah pulanglah ke Ayer Kuning untuk mengundi calon BN.

“Beri sokongan dengan memilih saya untuk membolehkan agenda pembangunan oleh wakil rakyat sebelum ini dapat kita teruskan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai undi awal semalam, beliau berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 93.4 peratus yang disifatkan tinggi.

“Saya berharap apabila kiraan dibuat, undi itu akan memihak kepada kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya