Op Sohor: Pegawai kanan ATM ditahan turut jadi ‘tokan’ dadah

Op Sohor: Pegawai kanan ATM ditahan turut jadi ‘tokan’ dadah

Lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia antara 10 orang yang direman SPRM untuk siasatan berkaitan kes bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan dalam Op Sohor, dipercayai turut terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia susulan penemuan dadah ketika operasi tangkapan terhadap 10 individu di Lembah Klang, kelmarin.

“Kita ada maklumat selain rasuah, salah guna kuasa..mereka ini juga terlibat dalam kes penyeludupan dadah.

“Hasil maklumat itu, kita membawa bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman dalam serbuan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM (RTD) Tahun 2025 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

Hussien ketika ditemui memaklumkan, empat daripada 10 individu yang ditahan dalam operasi berkenaan dipercayai dalang atau tokan dalam sindiket dadah.

Beliau berkata, keempat-empat mereka adalah seorang pegawai ATM selain tiga orang awam iaitu seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing.

“Hasil penahanan itu, kita menemukan 70 peket serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 1.1 Kilogram (kg); kanabis (92 gram); ketamin (22 gram); cecair MDMA (64 gram) dan ekstasi (0.6 gram). Nilai keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak RM30,000,” jelasnya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terlibat dengan mereka.

Dalam pada itu di Putrajaya, seramai 10 individu termasuk lima pegawai tentera terlibat direman SPRM untuk siasatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.

Turut ditahan dua wartawan agensi media dalam talian, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) serta wanita warga asing.

Empat suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos ini, dua lelaki dan seorang wanita direman selama lima hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman selama tiga hari sehingga 16 Ogos.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN